Saturday, July 20, 2019

Akhirnyaa..Big Bad Wolf Pulau Pinang




BUKIT MERTAJAM, 18 JULAI 2019 – Susulan kejayaan besar Jualan Buku Big Bad Wolf di Gurney Paragon pada tahun lalu, Jualan Buku Big Bad Wolf kembali lagi ke Pulau Pinang pada 18 hingga 28 Julai 2018, bertempat di Mydin Mall Bukit Mertajam! Warga Pulau Pinang diseru agar tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Jualan Buku tersebut yang akan dibuka dari pukul 10:00 pagi hingga 12:00 tengah malam selama 11 hari dan masuk adalah PERCUMA!

Dikenali kerana menawarkan diskaun menarik antara 75% hingga 95% berbanding dengan harga runcit yang disyorkan, Jualan Buku Big Bad Wolf akan menampilkan koleksi buku beraneka yang terdiri daripada genre yang berbeza. Dalam sepanjang tempoh Jualan Buku berkenaan, para pelanggan boleh mendapatkan buku-buku dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris dari judul-judul terlaris hinggalah novel remaja, buku kanak-kanak, kisah cinta, sains fiksyen, jenayah, thriller, buku perniagaan, seni dan reka bentuk, buku masakan dan banyak lagi.

“Berdasarkan pengalaman Jualan Buku Big Bad Wolf Pulau Pinang yang lalu dan juga dengan pembukaan cawangan BookXcess di Gurney Paragon pada awal tahun ini, kami mendapati bahawa masyarakat Pulau Pinang sememangnya gemar membaca buku dan sentiasa menyokong kami. Dengan itu, Pulau Pinang telah menjadi satu destinasi yang mesti kami lawati untuk Jualan Buku kami . Disamping itu, kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan serta maklum balas yang diberikan. Kini, kami kembali lagi dan untuk kali ini kami akan membawa Jualan Buku ini ke Seberang Perai,” kata Pengasas Jualan Buku Big Bad Wolf, Andrew Yap.

Sementara para pengunjung mempunyai pilihan beraneka jenis buku daripada pelbagai genre yang berbeza, ibu bapa yang hadir juga pasti akan berasa teruja kerana dapat menemukan buku-buku yang sesuai untuk si kecil mereka. Yakin bahawa minat membaca perlu dipupuk dari awal usia, Jualan Buku Big Bad Wolf turut menawarkan pelbagai pilihan buku kanak-kanak yang terdiri daripada buku aktiviti, buku mewarna, buku cerita dan banyak lagi.

Selain daripada buku-buku yang disediakan, para ibu bapa juga boleh mendapatkan Buku Ajaib yang turut dijual dengan potongan harga istimewa sepanjang tempoh Jualan Buku berkenaan dijalankan. Dengan menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) yang merevolusikan cara si kecil membaca, Jualan Buku ini akan menampilkan 13 judul menarik dengan kandungan yang terdiri daripada kisah teladan dan kisah dongeng terkenal. Disamping watak-watak yang “boleh dihidupkan”, buku-buku interaktif ini dapat membantu proses pembelajaran kanak-kanak di mana mereka boleh membaca, bermain dan belajar pada masa yang sama.

Selain daripada itu, Jualan Buku Big Bad Wolf di Pulau Pinang tahun ini turut menampilkan lebih daripada 40 penerbit tempatan seperti Kualiti Books, Sasbadi, PTS dan Pelangi yang sedia menawarkan buku-buku pendidikan pada harga yang istimewa. Turut ditawarkan di Jualan Buku berkenaan ialah judul-judul novel kegemaran rakyat Malaysia oleh Buku Fixi, Lejen Press, DuBook Press dan Iman Publication.




Berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa setiap insan di dunia ini berhak untuk belajar, Jualan Buku Big Bad Wolf telah mengaktifkan sayap Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)  miliknya iaitu program Red Readerhood (RRH) menerusi hasil kerjasama dengan empat organisasi tempatan iaitu Teach For Malaysia, Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau Pinang, Rumah Kanak-Kanak Salvation Army Pulau Pinang dan HOPE worldwide Pulau Pinang. Bagi memulakan program Red Readerhood ini, Jualan Buku Big Bad Wolf akan menyumbangkan 200 buah buku kepada kanak-kanak berusia antara 5 – 17 tahun di bawah jagaan organisasi-organisasi berkenaan. Para pengunjung juga dialu-alukan untuk turut menghulurkan bantuan dengan mengunjungi sudut Red Readerhood yang terletak berdekatan kaunter pembayaran dan boleh menyumbangkan buku mengikut pilihan masing – masing.

Sejak permulaannya pada tahun 2009, Jualan Buku Big Bad Wolf bertegas untuk meneruskan usahanya serta penjelajahannya ke seluruh dunia dengan membawakan buku-buku pada harga mampu milik. Tahun ini, Jualan Buku Big Bad Wolf telah berjaya menjelajah ke negeri-negeri seperti Pahang, Johor, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan akan membuat kemunculan di negeri-negeri lain seperti Terengganu dan banyak lagi sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk meraikan Jualan Ulang Tahun Ke-10 pada Disember tahun ini.


Selain daripada buku, para pelanggan juga boleh mendapatkan magnet serta lencana Big Bad Wolf di Jualan Buku berkenaan.

Untuk mendapatkan maklumat terkini harian, sila ikuti #BBWPENANG2019 di:
FACEBOOK: fb.com/bbwbooks
INSTAGRAM: @bigbadwolfbooks

Maklumat mengenai acara:
Jualan Buku Big Bad Wolf Pulau Pinang 2019
Tempat: Mydin Mall, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Tempoh Jualan: 18 – 28 Julai 2019
Masa: 10:00 pagi – 12:00 tengah malam
Masuk adalah PERCUMA!